Thursday, June 7, 2012

Perkahwinan Pertama Insan Mulia..

Sejak barang dagangannya itu habis diniaga,
dengan berlipat ganda keuntungannya..
Ditambah pula dengan keanehan cerita,
yang dibawa oleh orang kepercayaannya..
Wajah anak muda itu semakin bermain-main di kotak fikirannya..
Sehingga mengganggu kenyenyakan tidur malamnya...

Hatinya dilanda keresahan..
Namun kepada siapa harus diluahkan..??
Nanti apa pula kata orang terhadap dirinya yang sudah tua,
namun berhajat kepada kepada si jejaka muda belia..??
Ramai orang yang akan mentertawakannya..
Saat terjadinya itu, pasti tiada lagi tempat untuk dia menyembunyikan muka...

Wajah Nafisah Binti Munabbih menerpa di minda..
Rakan baiknya itu mempunyai hubungan yang akrab dengan keluarga si jejaka..
Lalu diutuskan utusan untuk memanggil Nafisah bertemunya..
Dan Nafisah datang dengan wajah penuh tanda tanya...

Tanpa berselindung, Khadijah meluahkan hasrat di jiwa..
Perkhabaran itu disambut Nafisah dengan wajah manis penuh gembira..
Langkah diatur ke rumah bapa saudara si jejaka..
Lalu akhirnya dengan si jejaka dia bersua..

Hasrat rakan disayangi cuba diluahkan dengan penuh kiasan..
Hatta si jejaka menjadi kehairanan..
Perasaan hatinya membuak-buak bak ombak pantai menghempas tepian..
Siapakah gerangannya yang mahu menutupi kemiskinannya itu dengan harta kekayaan..??

Pertanyaan terus diajukan untuk mendapatkan kepastian..
Agar dalam hatinya tiada lagi sebarang persoalan..
Menjawab Nafisah penuh sopan,
"Khadijah Binti Khuwailid, empunya gerangan.."

Kini Muhammad termenung lagi..
Wajah insan mulia yang bak bulan purnama itu terus menatap ke bumi..
Masih ada keraguan yang bermain-main di benak fikirnya..
Persoalan yang bila berjawab, bakal membuka lembaran sejarah baru dalam hidupnya..

Setelah lama terdiam, insan mulia itu menuturkan percakapan,
"Pulanglah dahulu, nanti akan ku kirimkan utusan membawa perkhabaran.."
Abu Talib; si bapa saudara yang banyak berjasa tidak harus diketepikan..
Samaada ingin diterima atau ditolak akan lamaran...

Kata setuju Muhammad luahkan..
Abu Talib akan menjadi penyampai jawapan..
Lalu bersegeralah dia ditemani saudaranya Hamzah membawa perutusan..
Ke rumah 'Amru Bin Asad; bapa saudara Khadijah yang bakal menjadi wali pernikahan...

Namun wajah 'Amru Bin Asad tampak tidak begitu merelakan..
Kerana dia lelaki yang memandang kekayaan..
Sedang Muhammad miskin tiada berharta..
Takut nanti habis dikikis harta si anak saudara...

Bersaksilah sekalian makhluk yang ada,
"Bahawa sesungguhnya Muhammad itu miskin bukanlah kerana malas bekerja, namun kerana dia seorang yang tidak suka menyimpan harta.."
Dan sudah ketetapan Ilahi jua, Muhammad dan Khadijah kan tetap disatukan..
Dengan 400 dirham menjadi mahar perkahwinan..

Kota Makkah menjadi tapak pesta perkahwinan penuh kemeriahan..
Menyambut perkahwinan pertama insan mulia..
Rasa cinta Muhammad terhadap Khadijah yang telah lama tersimpan,
kini dilestarikan tanpa ada lagi halangan..

Rasa cinta itu tetap utuh selamanya..
Walau telah ditakdir, Khadijah pergi dahulu meninggalkannya..
Muhammad kekal menduda dalam 'iddah yang lama..
Dengan zuriat hasil perkongsian hidup; lambang cinta dibesarkan dengan penuh kasih seorang bapa...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts