Monday, February 13, 2012

Layakkah Aku Meraih Cintamu Kekasih...

Duhai kekasih..
Tika saat buminya panas..
Nur Ilahi mula menempias..
Langit tertutup daripada pencuri berita..
Api majusi yang menyala, akhirnya terpadam jua..

Tuan Kaabah menundukkan tentera bergajah di sempadan tihamah
Lalu menakdirkan kelahiranmu di kota karamah
Dikaulah penghulu sekalian anbiya' ..
Pembawa rahmat ke seluruh buana...

Engkau membesar saat tanah gersang menduga..
Lalu diangkat dan didekatkan pada Kaabah nan mulia..
Engkau dilahirkan untuk dicintai..
Hatta musuh yang ditakdir turut menyenangi...

Engkau cucu kesayangan..
Anak saudara yang dibanggakan..
Engkau anak yatim yang menyenangkan si ibu susuan..
Lalu akhirnya, cinta Si Bidadari turut diraihkan...

Tika uzlahmu di gua Hira'..
Langit dan bumi yang telah lama terpisah berhubung semula..
Jibril datang membawa wahyu..
Bahawa perjuanganmu kelak, bakal mengundang seteru...

Mujur Khadijah di sisi memahami dan mempercayainya..
Abu Bakar berjanji menjadi teman setia..
Sepupumu Ali tenang mengikuti..
Abu Talib, si bapa saudara sudi melindungi...

Badai mehnah yang melanda..
Bagaikan tiada penghujungnya..
Dicaci.. dihina.. hingga tiada mampu akal memikirkannya..
Hatta dibaling najis busuk tiada tersangka...

Onak dan duri yang ditabur..
Cacian dan makian yang dihambur..
Namun dikau tetap tabah..
Lalu tertumpah kesabaran pada sahabat, yang membuatkan hatiku bertambah gagah...

Tiga belas tahun penuh seksa yang dilalui..
Juga Thoif yang turut menjadi saksi..
Lalu berhijrahlah dikau ditemani As-Siddiq; si peneman setia..
Dari kota karamah ke kota cahaya...

Sepuluh tahun mendatang dihiasi sirna kegemilangan..
Melimpah nur ke lembah yang dulunya berisi kegelapan..
Namun mehnah itu senantiasa mengiringnya..
Perjuangan menyebarkan risalah langit, tetap masih ada cabarannya...

Badar, menjadi saksi golongan yang percaya..
Uhud, menjadi saksi duka..
Khandaq; parit yang diusahakan, menjadi saksi bantuan Maha Pencipta..
Dua puluh tujuh peperangan yang dilalui, tetap kau iringi dengan wajah ceria...

Hari arafah menjadi saksi segala..
Bahawa setiap mula, kan pasti ada akhirnya..
Hari-hari terus berlalu sepi..
Sehingga tiba saat engkau mengucapkan, 'Ummati...Ummati...Ummati...'

Al-Farooq menghunuskan pedang di jalanan..
Karamallahu Wajhah terduduk pengsan..
Zunur 'Ain diam mengunci bicara..
As-Siddiq juga yang kembali redha...

Jika air mata mereka mampu mengubah segala..
Maka tentu kekasih yang dicintai tidak akan pergi meninggalkan mereka..
Namun sudah tertakdir bagi setiap manusia..
Kematian itu pasti, untuk setiap yang bernyawa...

Duhai kekasih..
Mencukupikah aku tunjukkan rasa cintaku itu,
dengan mengalunkan selawat di hari keputeraanmu?
Dengan mendirikan sepanduk bila menjelangnya hari mengenangmu?
Dengan menitipkan alunan nasyid mengingati sirah perjuanganmu?
Atau memadaikah dengan majlis memperingati saat permergianmu?

Aku akui itu semua belum cukup untuk aku meraih cintamu wahai kekasih..
Betapa aku malu menyatakan rasa cinta kepada insan pilihan Allah..
Dirimu insan mulia..
Sedangkan aku hanya insan biasa...

Namun..
Ku cuba pujukkan hati..
Untuk meluahkan rasa rindu ini..
Bersenandung kerinduan dalam ucapan selawat..
Tanda ingatan seorang umat...

Akan ku jejaki segala petunjukmu..
Akan ku amalkan segala sunnahmu..
Kerana berkatnya hidup di dunia, aku harapkan..
Syafaatmu di akhirat kelak, aku dambakan...

Duhai kekasihku ya Rasulullah..
Rasa rinduku ini bagaikan tiada butiran kata..
Kerana peribadimu membuatkanku terpana..
Ingin ku bawa rasa cinta ini sampai ke syurga..
Bersulam cinta Yang Maha Esa...

2 comments:

  1. indah sungguh puisi ini.. tp towan malang nya x blh buka video tu kat facebook :(

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts