Wednesday, November 9, 2011

Sebelum Diri Rebah Di Kamar Sepi..

Sebelum diri rebah di kamar sepi, sebelum mata tertutup rapi, sebelum lena diulit mimpi, dahulukan dengan bermuhasabah diri, "Bagaimanakah rasa keimananku kepada Ilahi  pada hari ini..??"

Putarkan kembali kotak fikiran dengan tulus suci.. Imbaskan kembali setiap gerak langkah sepanjang siang tadi.. Bandingkan amalan semalam dengan hari ini.. Seandainya diri semakin baik pada hari ini, itu tandanya semakin meningkatnya keimanan di hati... Kerana iman serta taqwa itu diukur bukan pada banyaknya amalan kita di hari ini, tapi pada kesungguhan kita melaksanakan tanggungjawab yang diamanah Ilahi...

Sedarlah sifat hamba yang mukmin (beriman) itu senantiasa hatinya terpaut kepada Rabbul 'Izzati.. Segala kekuatan yang diperoleh dalam beribadat difahami bahawa bukan daripada diri sendiri, tapi kurnian Tuhan buat diri...

Hanya Dia Pemilik rahmat dan nikmat segala.. Namun mengapa seakan kufur kepada-Nya..?? Bukankah Dia telah berfirman dalam Al-Quran yang mulia, "Bersyukurlah kalau betul kamu menyembahnya,".

Bila diri ditimpa ujian dan musibah, kenangkan kembali segala dosa.. Apakah diri redha dengan segala yang menimpa..?? Atau semakin berani diri menyanggah takdir-Nya..??

Mungkin segala kesusahan yang melanda itu kifarah dosa buat hati dan diri.. Kerana dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-Nya, Dia Maha Adil dalam mengaturkan segala sesuatu di dunia ini.. Maka berlapang dadalah menempuhi segala mehnah (cabaran) kehidupan ini...

Hati yang mencintai Ilahi sering saja menjadikan setiap keperitan yang melanda azimat penguat diri.. Kerana ia senantiasa mengerti dan menyedari itulah sebenarnya sebahagian tanda kasih dan sayang Allah buat diri..

Beruntunglah diri yang ditimpa musibah, semakin kencang ibadahnya kepada Maha Pencipta.. Semakin terasa dekat dirinya dengan Yang Maha Esa.. Semakin terasa lazatnya munajat kepada-Nya.. Ibadat di sepertiga malam menjadi penyingkap tabir keampunan.. Dan siangnya pula dimanfaatkan sebaik mungkin dalam membina hubungan kukuh sesama insan..

Nafsu jahat dan prasangka buruk acapkali meruntun jiwa.. Kerana itulah sumpah iblis terhadap Tuhannya.. Namun ingatlah sabda junjungan mulia, "Orang yang membuat dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya...".

Bukanlah hakikat hidup di dunia untuk mencari pangkat dan nama.. Kerana ia bisa menyebabkan manusia lebih rakus daripada haiwan di dalam memilikinya.. Sedarlah dunia ini tempat tanaman, sedang akhirat tempat tuaian hasilnya.. Lalu jadikanlah seluruh kehidupan ini untuk mencari dan mencapai keredhaan Allah semata.. Dan berbahagialah hati yang tenang pada perjalanan menemui Penciptanya...

1 comment:

  1. Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah banyak kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
PaidVerts